Tuesday, January 28, 2014

Semangat Latip tidak ‘tempang’


Asmah Abdul Rahman menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan OKU Negeri Melaka 2009 kepada Latip Md. Isa di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.



MELAKA 7 April – Suatu masa dulu, Latip Md. Isa yang cacat kaki kirinya kerana menghidap polio sejak dilahirkan pernah dihina ketika mahu membeli peralatan untuk memulakan perniagaan.
Keadaan Latip, 53, yang tiada kaki kiri menyebabkan dia dipandang rendah oleh masyarakat dan dianggap tidak berkemampuan untuk melakukan sebarang pekerjaan.
Namun, katanya, kata-kata hinaan tersebut membolehkannya kini menikmati pendapatan RM60,000 sebulan hasil perniagaan pemprosesan ayam daging dan perkhidmatan sewaan kanopi, lori dan katering di Bachang di sini.
‘‘Saya masih ingat lagi, pada ketika itu saya baru berjinak-jinak mengusahakan ternakan ayam, hasil jualan ayam, saya ada menyimpan sejumlah wang untuk dijadikan modal.
‘‘Kemudiannya, saya bertanyakan harga sebuah peralatan di sebuah kedai namun dengan pandangan yang mengejek, pemilik kedai itu menyatakan saya tidak perlu bertanyakan harga barang tersebut kerana melihat keadaan saya, dia merasakan saya tidak mampu,” katanya.
Latip ditemui pada majlis sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri yang disempurnakan oleh Pengerusi Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari), Datuk Wira Asmah Abdul Rahman di sini semalam.
Pada majlis itu, Latip menerima anugerah Tokoh Usahawan OKU daripada sembilan tokoh OKU lain yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dengan tujuan mengiktiraf potensi golongan itu meningkatkan kehidupan melalui kerjaya masing-masing.
Selain Latip, turut menerima anugerah Tokoh OKU 2009 iaitu Tuah Atan; Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang (PDK Seri Pengasih Durian Tunggal); Petugas PDK Cemerlang (Zuraidah Jasmi); Pelatih PDK Lelaki dan Wanita Cemerlang (Mohammad Sapri Mamat, Norlin Yusof) manakala Tokoh Pekerja OKU menerima Hashim Ishak.
Latip yang merupakan anak sulung daripada enam beradik dan hanya kurang upaya dalam keluarganya itu beranggapan kecacatan yang dialaminya itu tidak pernah menghalang minatnya menceburkan diri dalam perniagaan.
‘‘Biarpun terpaksa berjalan tempang kerana kaki kiri disokong oleh alat besi di dalamnya, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meluaskan perniagaan jualan ayam daging dan tahun lalu, saya menambah perniagaan kepada menyewa kanopi, lori dan katering.
‘‘Alhamdulillah, saya kini mampu menikmati pendapatan kasar sehingga RM60,000 sebulan walaupun ketika mula-mula menternak dan memproses ayam, ia hanya daripada belas kasihan pemilik perusahaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Tuah, 50, pula adalah pemilik dua buah firma guaman di Kuala Lumpur dan Melaka dengan salah satunya iaitu Tuah Hilmy dan Hazudin.
Dia yang dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan cacat tangan kiri menyatakan kejayaannya hari ini adalah hasil pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh kedua ibu bapanya walaupun dilahirkan sebagai golongan OKU.
‘‘Saya mempunyai sembilan adik beradik, semuanya dilahirkan normal namun ibu bapa saya tidak pernah membeza-bezakan kami. Kasih sayang mereka terhadap kami diberi sama rata.
‘‘Kasih sayang kedua mereka menjadikan saya seorang yang berjaya hari ini sebab itu, saya sanggup mengorbankan segala-galanya terutama masa bekerja demi menjaga ibu walau dia hanya sakit biasa, bapa pula sudah meninggal dunia pada 2005 lalu,” katanya
Pada masa sama, dia meminta ibu bapa yang mempunyai anak OKU agar tidak bimbang atau malu sebaliknya memberi perhatian penuh dan pelajaran untuk anak itu berjaya pada masa depan.
Tuah juga antara penggubal utama dalam kerja-kerja merangka dan menyediakan Akta OKU 2008 sehingga berjaya dibentangkan pada 2008 lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0408&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm#ixzz2reame24r
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment