1 Mac 2012
Mamat Abdullah, 53 tahun dari Kampung Felda Bukit Bading boleh berbangga dengan pencapaian diri biarpun nampak daripada luarannya mustahil, tetapi jiwanya kental menentang apa sahaja rintangan yang mendatang sehingga berjaya membuka bengkel motosikal miliknya.
“Sejak kecil lagi memang saya minat bekerja kerana tidak suka bergantung kepada orang lain untuk mencapai sesuatu di dalam hidup ini.
“Alhamdulillah sekarang saya mampu memiliki bengkel motosikal setelah menyertai Persatuan Orang Cacat Malaysia dengan mengikuti kursus yang dianjurkan bersesuaian dengan minat saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kebajikan Rakyat 1Malaysia di Dewan Sivik Ajil.
Kata Mamat, dia memasang impian untuk mengembangkan lagi perniagaannya supaya dikenali ramai kerana buat masa ini pelanggannya terdiri daripada mereka yang berada di kawasan kampungnya sahaja.
Katanya, kalau dalam sebulan, hendak dapatkan RM150 payah, kebanyakannya dia hanya memperoleh antara RM30 dan RM100 sahaja.
“Saya bersyukur dapat duit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, dengan duit ini boleh menampung bayaran sewa kedai, bil air dan elektrik serta belanja seharian.
“Tetapi kalau terpaksa keluar ke bandar Ajil untuk mencari ‘barang’ motor, kena belanja lebih untuk bayar tambang teksi,” katanya.
Sementara itu, mengimbau kisah hidupnya, menurut Mamat ketika berusia tiga tahun, dia mengalami demam panas dan tidak menyangka selepas itu, keadaannya tidak normal, namun kecekalannya meneruskan hidup membuka mata banyak pihak untuk menghulurkan bantuan.
Kehidupan Mamat berubah setelah dia menyertai persatuan itu sekitar 1980 dan mempelajari selok-belok membaiki enjin motosikal.
Dia menggunakan ilmu yang diperoleh sebaik mungkin sehingga berjaya bergelar usahawan dengan memiliki Bengkel Din Motor sejak 10 tahun lalu di Kampung Felda Bukit Bading.
Sumber : Sinar harian
No comments:
Post a Comment