OKU jadi jutawan
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
utusanperlis@utusan.com.my
|
Kumaran menunjukkan produk terbaru di kedainya.
|
KANGAR 28 Dis. - Sukar untuk mempercayainya, tetapi dengan bermodalkan RM10 yang disumbangkan oleh persatuan Belia 4B mendorong orang kurang upaya (OKU), M. Kumaran, 48, berusaha gigih dan kini bergelar jutawan.
Soal percaya atau tidak, terserahlah kepada khalayak.
Duit RM10 itu adalah ihsan Persatuan Belia 4B yang berpusat di Eatet Ladang Patani, Para Estet di Bidong, Kedah pada tahun 1979 kerana Kumaran miskin dan cacat.
Wang itu dipinjamkan sebagai duit tambang untuk membolehkan Kumaran mengikuti Kursus Usahawan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perlis yang diadakan di sini.
Kumaran diberi wang itu kerana berstatus OKU setelah kaki kirinya tidak dapat diselamatkan, terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya ketika berumur 18 tahun iaitu pada tahun 1979.
Waktu kejadian, Kumaran adalah kelindan lori ketika mula mencari sesuap nasi selepas menukar kerjaya daripada seorang penoreh getah.
"Mulai tahun 1979 saya keluar dari kawasan estet menjadi kelindan lori. Dulu, tempat duduk kelindan bukan di sebelah pemandu, tetapi di atas lori bersama muatan. Malang menimpa. Lori terbaik dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi.
"Ketika itu kami dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Bukit Tengah, Butterworth," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Apabila diajukan soalan lain, Kumaran termenung seketika, lalu menjawab: "Saya tercampak bersama muatan. Yang tahu ketika itu hanya menanggung kesakitan. Sakit yang amat sangat apabila kaki kiri dihimpit lori papan. Saya cuba melepaskannya, tetapi gagal."
Berikutan kecelakaan tersebut, Kumaran dikejarkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut selama 10 hari.
Ketika di hospital, pakar perubatan sedaya upaya mengubati semua kecederaan sehingga berjaya, kecuali kaki kiri.
"Doktor tidak ada pilihan. Kaki kiri saya terpaksa dipotong paras lutut. Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kesedihan yang saya alami tidak mampu dizahirkan, sama ada secara lisan atau tulisan," ujarnya.
Setelah kaki kiri dipotong katanya, beliau ditempatkan tiga bulan di hospital berkenaan dan hatinya sekali lagi tersentak apabila terpaksa pulang ke kampung berbekalkan sebatang tongkat kayu untuk berjalan.
Namun begitu, Kumaran tidak mudah mengaku kalah apabila setahun kemudian beliau membelanjakan RM1,400 untuk membeli kaki palsu.
Berbekalkan kaki palsu, di peringkat awal, anak muda itu bercadang menjadi pekerja di stesen minyak sebagai juru pam.
"Ketika asyik mencari kerja, saya yang menyertai Belia 4B dipilih mengikuti Kursus Usahawan selama 14 hari di Kangar. Disebabkan duit tambang tidak ada, Belia 4B bagi pinjaman RM10.
"Selepas mengikuti kursus, saya memohon bantuan modal perniagaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya memohon dari JKM Perlis setelah menetap di Kangar. Saya memperoleh RM500 untuk dijadikan modal pusingan.
"Selain modal RM500, JKM menyediakan satu kedai kepada saya dengan sewa RM60 sebulan di Medan Datuk Jaafar Hassan di sini mulai tahun 1982," ujarnya.
Di premis itu, Kumaran memulakan perniagaan membuat papan tanda dan bingkai gambar, diikuti membuat tanda nama berikutan ketetapan bagi kakitangan kerajaan menggunakan tanda nama seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1983.
Setelah melihat peluang perniagaan membuat tanda nama begitu cerah, Kumaran yang tidak mempunyai modal telah bertemu Menteri Kebajikan Masyarakat, Tan Sri Aishah Ghani sehingga berjaya memperoleh bantuan JKM untuk membeli mesin membuat tanda nama berharga RM1,200.
"Mesin tanda nama yang disumbangkan oleh JKM tahun 1983 itu sampai sekarang masih ada," ujar beliau sambil menunjukkan mesin tersebut di kedai pertamanya di Perusahaan Cahaya Murni Enterprise yang terletak di No. 2, Tingkat Bawah, Medan Bazar Kangar.
Selain premis itu, beliau juga mempunyai sebuah lagi kedai iaitu Fawarra Murni Sdn. Bhd., di No. 11, juga di Medan Bazar Kangar.
Satu lagi syarikat milik Kumaran ialah Cahaya Tujuh Enterprise yang berpusat di Jalan Jubli Perak, juga di Kangar.
Perkhidmatan yang disediakan termasuklah membuat sulaman logo, logo bercetak, barangan cenderamata, cop getah, tanda nama sulam, kad perniagaan dan papan iklan.
Di ketiga-tiga premis berkenaan, beliau mempunyai enam pekerja termasuk empat OKU yang setiap orang berpendapatan antara RM650 hingga RM700 sebulan.
Selain sibuk menyiapkan produk permintaan pelanggan di seluruh Perlis, usahawan ini juga aktif ke Kedah kerana prinsipnya dalam perniagaan ialah tiada sempadan negeri asalkan sah.
Hasil kegigihan Kumaran sejak berusia 18 tahun, beliau yang mendirikan rumah tangga dengan K. Kumutha Devi dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kanmani, gadis berusia 22 tahun dan Kanimoli pula berumur 20 tahun manakala anak lelaki bongsunya, Paventhan, 17.
Kanmani kini menuntut di Moscow dalam jurusan perubatan, sementara Kanimoli mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Utura Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, manakala Paventhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sekarang, Kumaran memiliki dua kereta iaitu Toyota Camry dan Toyota Vios.
Ditanya mengenai rumahnya pula, jutawan itu mengakui memiliki lapan buah, iaitu satu daripadanya dijadikan kediaman sekeluarga manakala tujuh lagi disewakan.
Apabila diminta menyatakan nilai hartanah semasa bagi tiga premis kedai dan tujuh rumahnya, sambil tersenyum Kumaran berkata:
"Tiga kedai itu setiap satunya berharga kira-kira RM500,000 berbanding sewaktu dibeli RM54,400 sebuah. Nilai rumah pula antara RM180,000 hingga RM380,000 sebuah."
Menyentuh wang RM10 yang dipinjam dari persatuan Belia 4B untuk mengikuti Kursus Usahawan di Kangar dulu pula, Kumaran berkata, ia sudah dibayar balik.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?